Kata-kata Aluan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum dan salam sejahtera Cikgu ucapkan kepada semua anak-anak murid cikgu.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya, blog Kelab Cikgu Halim (K.C.H) berjaya diterbitkan kembali setelah sekian lama menyepi. Cikgu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam pembikinan blog ini.

Dengan adanya blog K.C.H, Cikgu berharap kesemua anak murid dapat mengikuti segala perkembangan dan aktiviti kelab dari semasa ke semasa. Selain itu juga, anak-anak murid sekalian dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan Seni Gayung Fatani melalui info-info yang diselitkan di dalam blog ini.

Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah. Semoga terdapat pahala dalam bacaan kita dan pahala tersebut kita sedekahkan kepada Arwah Guru Utama kita Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd Wahab A.M.N. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Al-Fatihah...amin, amin, Ya Rabbal Alamin...

HALIM BIN HAMIT
Guru Kanan
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
WP Kuala Lumpur


Jumaat, 16 Disember 2011

LOGO PERTUBUHAN SENI GAYUNG FATANI MALAYSIA (PSGFM)



Logo PSGFM berbentuk bulat diambil daripada Tapak Bulat atau Langkah Melilit yang menggambarkan pergerakan dan kesatuan yang padu

Perkataan membawa makna tertentu
Seni: Hasil ciptaan yang indah sempurna iaitu Silat berdasarkan seni budaya Melayu
Gayung: Seni beladiri zahir dan batin

Warna merah melambangkan keberanian

Warna hijau melambangkan kesuburan dan kepercayaan agama

Warna kuning melambangkan kedaulatan

Warna putih melambangkan kesucian

Warna hitam melambangkan kematangan dan keluhuran

Keris bersilang sarung adalah lambang semangat kepahlawanan Melayu

Tangan bermaksud tanggungjawab, berusaha dengan gigih

Rujukan:
Anwar Abd Wahab AMN,2008.  Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden.  Kajang: PSGFM.

Khamis, 15 Disember 2011

ETIKA BERPAKAIAN DALAM SILAT

Cikgu Halim berpakaian lengkap tradisi Gayung Fatani...berkain batik dan bertanjak belah mumbang

PENDAHULUAN

            Sejak sekolah rendah lagi kita telah dipupuk berbangga dengan pakaian Melayu yang lebih dikenali sebagai Baju Kebangsaan yang terdiri daripada songkok, baju Melayu, seluar, samping dan kasut kaki di mana ianya diwajibkan pakai setiap hari Jumaat.  Lebih meriah lagi apabila menjelang hari raya apabila kesemua orang lelaki Melayu bergaya dengan pakaian Baju Melayu yang bermacam warna, gaya dan fesyen.  Namun, adakah Baju Melayu yang kita pakai itu lengkap dan sempurna?  Terus terangnya, kedapatan sesetengah fesyen Baju Melayu yang ada sekarang sangat menjelekkan mata.  Kelihatan lebih kepada seorang pemalas yang kononnya dia sangat begaya dan up to date.

ETIKA BERPAKAIAN

            Jadi, apakah kaitannya pakaian dan silat?  Sejak dahulu lagi, baju Melayu yang lengkap menjadi pakaian para pahlawan dan pendekar.  Apakah baju Melayu yang lengkap itu?  Terdapat talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan tatacara pemakaian baju Melayu lengkap seperti berikut:

            Yang disebut pakaian lengkap
            Pertama memakai destar
            Kedua bercekak musang
            Ketiga berkain samping
            Keempat berseluar labuh
            Kelima berkeris
            Keenam berselempang
            Ketujuh bengkung berpending
            Kedelapan berkasut kaki
            Kesembilan berkambil sirih
            Kesepuluh bergelang berdokoh
            Kesebelas bercincin
            Kedua belas bersapu tangan

            Talibun di atas menggambarkan etika berpakaian yang lengkap bagi lelaki Melayu pada zaman tradisi.  Keris menunjukkan betapa pentingnya ilmu beladiri (silat) kerana keris bukan sekadar lambang tetapi digunakan sebagai senjata apabila perlu.  Jadi, baju Melayu adalah pakaian yang sesuai untuk bersilat malah baju Melayu tidak lengkap jika tidak berkeris atau senjata.  Ia umpama persediaan yang tidak lengkap.  Namun pemakaian adalah berbeza mengikut tempat yang dituju tetapi keris tetap dibawa.  Sebagai contoh, jika hendak ke masjid, bengkung berpending, gelang, cincin dan sapu tangan tidak perlu dipakai malah keris dipakai secara tersembunyi.

            Kalau berbaju Teluk Belanga
            Kain diikat dagang luar
            Kepala berkopiah sahaja
            Kain labuh samping ke keting
            Kaki seluar bayang-bayangan
            Keris di pinggang tidak nampak
            Itu pakaian ke masjid
            Atau bertandang ke sanak saudara

            Jika ke majlis rasmi pula, etika bepakaian juga turut berbeza.

            Kalau memakai Cekak Musang
            Kain diikat dagang dalam
            Kain labuh di bawah lutut
            Pinggang memakai bengkung lebar
            Keris terpampang sebelah kiri
            Kepala memakai destar
            Seluar labuh sampai keting
            Itu pakaian raja-raja
            Atau datuk atau panglima
            Atau orang patut-patut
            Atau orang berbangsa
            Yang duduk di helat jamu
            Atau majlis di ramai besar

            Kedudukan keris pula menggambarkan status sosial pemakaianya.

            Kalau memakai keris
            Keris tersisip sebelah kiri
            Keris beradat berlembaga
            Kalau memakai keris terlentang
            Itu tanda mencari lawan
            Bagai ayam kokok bertendang
            Bagai dubalang masuk gelanggang
            Elok dipakai dalam hutan
            Atau belayar tengah lautan
            Untuk menjaga-jaga diri.

            Kalau keris sampir terlangkup
            Keris tidak mencari lawan
            Dipakai dalam jamuan
            Yang dipakai pergi bertandang.

            Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata.  Cara pemakaian keris menggambarkan maksud pemakainya.  Keris yang terlangkup menunjukkan pemakaiannya tidak berniat jahat atau sebagainya kerana posisi keris yang tidak bersedia untuk digunakan atau suasana yang tidak mencurigakan.  Tetapi keris diterlentangkan dikatakan mencari lawan kerana posisi keris yang mudah dipegang dan dihunus untuk menikam.

KESIMPULAN

            Berdasarkan kedangkalan ilmu penulis, apabila seseorang memakai keris, semestinya dia perlu memiliki ilmu berkeris atau dengan kata lain dia perlulah seorang yang pandai silat.  Jika tidak senjata makan tuan.  Setiap pakaian yang dipakai ada tujuan yang tertentu.  Sebagai contoh, bengkung lebar yang dipakai sepanjang 7 lilit bertujuan untuk mengelakkan diri dari ditikam dan ayat-ayat yang ditulis pada bengkung dijadikan azimat.  Pending selain menguatkan ikatan bengkung, ia juga boleh digunakan sebagai senjata.  Labuhan kaki di paras keting dan pemakaian samping hanya di paras lutut adalah bertujuan memudahkan gerakan apabila berlawan.  Boleh dikatakan, orang Melayu boleh ‘berkata-kata’ melalui apa yang dipakai.

RUJUKAN

            Abd Rahman Ismail, 2003.  Seni Silat Melayu Sejarah Perkembangan dan Budaya.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

            Kamus Dewan Edisi Keempat.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Selasa, 13 Disember 2011

PERLAWANAN AKHIR PENDEKAR SEABAD 2011 DI UNIVERSITI MALAYA


PERLAWANAN AKHIR D PUTERA - JAMBUL (EMAS)

Pusingan 1

Pusingan 2

Pusingan 3



PERLAWANAN AKHIR B PUTERI - MIEZA (EMAS)

Pusingan 1

Pusingan 2

Pusingan 3



PERLAWANAN AKHIR B PUTERA - MIZI (EMAS & PESILAT PUTERA TERBAIK)

Pusingan 1

Pusingan 2

Pusingan 3


PERLAWANAN AKHIR KELAS D PUTERI - ZUA (EMAS)

Pusingan 1

Pusingan 2

Pusingan 3

Ahad, 11 Disember 2011

PERSEMBAHAN SILAT SEMPENA HARI KEPUTERAAN DYMM SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH, SULTAN SELANGOR

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor

Pada 10 Disember 2011 (Sabtu) bertempat di Istana Alam Shah, Klang, seramai 9 orang pesilat KCH telah terpilih mewakili Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) melakukan persembahan silat di hadapan Tuanku bersama-sama pesilat Gayung Fatani yang lain.

Pemilihan PSGFM untuk membuat persembahan adalah satu pengiktirafan pihak Istana dan Tuanku sendiri kepada pertubuhan.  Semoga KCH khususnya dan PSGFM amnya terus maju dan berjaya.

Menjunjung kasih dan Daulat Tuanku!

Istana Alam Shah, Klang


Pesilat KCH yang membuat persembahan di hadapan Tuanku Sultan Selangor

Lagi gelagat-gelagat pesilat KCH sepanjang persembahan silat...






KEJOHANAN SILAT OLAHRAGA PENDEKAR SEABAD UNIVERSITI MALAYA 2011

Lokasi Kejohanan: Dewan Kolej Kediaman ke-12 UM

Pada 9 hingga 12 Disember 2011 bertempat di Kolej Kediaman ke-12 Universiti Malaya, Kelab Cikgu Halim melalui Kolej Yayasan Pendidikan Cheras telah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Pendekar Seabad.

Berikut adalah pesilat yang mengambil bahagian:

Silat Olahraga Putera

Kelas A - Fad
Kelas B - Mizi
Kelas C - Wafi
Kelas D - Jambul

Silat Olahraga Puteri

Kelas A - Mieza
Kelas B - Syazreen
Kelas D - Norazwa
Kelas E - Zetty

Silat Seni

Tunggal Puteri - Syazreen
Ganda Puteri - Syazreen dan Mieza
Regu Puteri - Norazwa, Syazreen dan Mieza


Walau bagaimanapun, YPC terpaksa menarik diri di dalam acara seni berikutan kecederaan yang dialami Syazreen yang tidak memungkinkannya beraksi.

Berikut pula adalah keputusan penuh:

Putera A - Gangsa (kalah separuh akhir dengan UKM)
Putera B - Emas (tewaskan pesilat Universiti Singapura)
Putera C - Kalah pusingan awal berikutan kecederaan hamstring
Putera D - Emas (tewaskan pesilat UM)

Puteri A - Emas (tewaskan pesilat Universiti Singapura)
Puteri B - Pelepas memberhentikan perlawanan
Puteri D - Emas (tewaskan pesilat UM)
Puteri E - Gangsa (kalah separuh akhir dengan Universiti Kebangsaan Singapura)

Pesilat Kategori B Putera, Mizi, telah ditabal sebagai Pesilat Terbaik Kejohanan.  Dalam tempoh setahun, KCH telah berjaya melahirkan 2 pesilat terbaik.  Mieza semasa kejohanan silat di Times Square dan hari ini di UM.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada Cikgu Halim yang banyak membimbing kami semua.  Tidak lupa juga kepada senior yang turun memberi sokongan, Cikgu Debob sekeluarga, Kak Z sekeluarga, Hanieda, Kak Long dan ramai lagi.

Semoga KCH terus maju dan menjulang banyak kemenangan di tahun-tahun mendatang.

Suasana dewan pertandingan...

salah seorang fighter YPC sedang bersiap sedia dalam acara akhir



Aktiviti sebelum acara penutup - tengok wayang dan makan aiskrim


Berikut pula beberapa adegan semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah







 Mizi ditabalkan sebagai Pesilat Terbaik Putera kejohanan








Ahad, 20 November 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN DENGAN NEGERI SEMBILAN

Pada 26 Oktober 2011 bertempat di MSKL, perlawanan persahabatan antara KCH dengan N.Sembilan telah berlangsung dengan hebatnya.  Walaupun banyak rintangan yang berlaku sepanjang perlawanan, kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh fighters kedua-dua belah pihak.

Berikut adalah antara aksi yang dapat dirakam sepanjang perlawanan (sorry la kamera murah...byk gambar xclear hehe)