Koleksi gambar sepanjang demo sempena hari belia di tesco ampang...tarikh dah lupa plak bila hehe...
Kata-kata Aluan
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Assalamualaikum dan salam sejahtera Cikgu ucapkan kepada semua anak-anak murid cikgu.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya, blog Kelab Cikgu Halim (K.C.H) berjaya diterbitkan kembali setelah sekian lama menyepi. Cikgu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam pembikinan blog ini.
Dengan adanya blog K.C.H, Cikgu berharap kesemua anak murid dapat mengikuti segala perkembangan dan aktiviti kelab dari semasa ke semasa. Selain itu juga, anak-anak murid sekalian dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan Seni Gayung Fatani melalui info-info yang diselitkan di dalam blog ini.
Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah. Semoga terdapat pahala dalam bacaan kita dan pahala tersebut kita sedekahkan kepada Arwah Guru Utama kita Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd Wahab A.M.N. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Al-Fatihah...amin, amin, Ya Rabbal Alamin...
HALIM BIN HAMIT
Guru Kanan
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
WP Kuala Lumpur
Sabtu, 4 Februari 2012
Rabu, 11 Januari 2012
Jumaat, 16 Disember 2011
LOGO PERTUBUHAN SENI GAYUNG FATANI MALAYSIA (PSGFM)
Logo PSGFM berbentuk bulat diambil daripada Tapak Bulat atau Langkah Melilit yang menggambarkan pergerakan dan kesatuan yang padu
Perkataan membawa makna tertentu
Seni: Hasil ciptaan yang indah sempurna iaitu Silat berdasarkan seni budaya Melayu
Gayung: Seni beladiri zahir dan batin
Warna merah melambangkan keberanian
Warna hijau melambangkan kesuburan dan kepercayaan agama
Warna kuning melambangkan kedaulatan
Warna putih melambangkan kesucian
Warna hitam melambangkan kematangan dan keluhuran
Keris bersilang sarung adalah lambang semangat kepahlawanan Melayu
Tangan bermaksud tanggungjawab, berusaha dengan gigih
Rujukan:
Anwar Abd Wahab AMN,2008. Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden. Kajang: PSGFM.
Khamis, 15 Disember 2011
ETIKA BERPAKAIAN DALAM SILAT
Cikgu Halim berpakaian lengkap tradisi Gayung Fatani...berkain batik dan bertanjak belah mumbang
PENDAHULUAN
Sejak sekolah rendah lagi kita telah dipupuk berbangga dengan pakaian Melayu yang lebih dikenali sebagai Baju Kebangsaan yang terdiri daripada songkok, baju Melayu, seluar, samping dan kasut kaki di mana ianya diwajibkan pakai setiap hari Jumaat. Lebih meriah lagi apabila menjelang hari raya apabila kesemua orang lelaki Melayu bergaya dengan pakaian Baju Melayu yang bermacam warna, gaya dan fesyen. Namun, adakah Baju Melayu yang kita pakai itu lengkap dan sempurna? Terus terangnya, kedapatan sesetengah fesyen Baju Melayu yang ada sekarang sangat menjelekkan mata. Kelihatan lebih kepada seorang pemalas yang kononnya dia sangat begaya dan up to date.
ETIKA BERPAKAIAN
Jadi, apakah kaitannya pakaian dan silat? Sejak dahulu lagi, baju Melayu yang lengkap menjadi pakaian para pahlawan dan pendekar. Apakah baju Melayu yang lengkap itu? Terdapat talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan tatacara pemakaian baju Melayu lengkap seperti berikut:
Yang disebut pakaian lengkap
Pertama memakai destar
Kedua bercekak musang
Ketiga berkain samping
Keempat berseluar labuh
Kelima berkeris
Keenam berselempang
Ketujuh bengkung berpending
Kedelapan berkasut kaki
Kesembilan berkambil sirih
Kesepuluh bergelang berdokoh
Kesebelas bercincin
Kedua belas bersapu tangan
Talibun di atas menggambarkan etika berpakaian yang lengkap bagi lelaki Melayu pada zaman tradisi. Keris menunjukkan betapa pentingnya ilmu beladiri (silat) kerana keris bukan sekadar lambang tetapi digunakan sebagai senjata apabila perlu. Jadi, baju Melayu adalah pakaian yang sesuai untuk bersilat malah baju Melayu tidak lengkap jika tidak berkeris atau senjata. Ia umpama persediaan yang tidak lengkap. Namun pemakaian adalah berbeza mengikut tempat yang dituju tetapi keris tetap dibawa. Sebagai contoh, jika hendak ke masjid, bengkung berpending, gelang, cincin dan sapu tangan tidak perlu dipakai malah keris dipakai secara tersembunyi.
Kalau berbaju Teluk Belanga
Kain diikat dagang luar
Kepala berkopiah sahaja
Kain labuh samping ke keting
Kaki seluar bayang-bayangan
Keris di pinggang tidak nampak
Itu pakaian ke masjid
Atau bertandang ke sanak saudara
Jika ke majlis rasmi pula, etika bepakaian juga turut berbeza.
Kalau memakai Cekak Musang
Kain diikat dagang dalam
Kain labuh di bawah lutut
Pinggang memakai bengkung lebar
Keris terpampang sebelah kiri
Kepala memakai destar
Seluar labuh sampai keting
Itu pakaian raja-raja
Atau datuk atau panglima
Atau orang patut-patut
Atau orang berbangsa
Yang duduk di helat jamu
Atau majlis di ramai besar
Kedudukan keris pula menggambarkan status sosial pemakaianya.
Kalau memakai keris
Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga
Kalau memakai keris terlentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok bertendang
Bagai dubalang masuk gelanggang
Elok dipakai dalam hutan
Atau belayar tengah lautan
Untuk menjaga-jaga diri.
Kalau keris sampir terlangkup
Keris tidak mencari lawan
Dipakai dalam jamuan
Yang dipakai pergi bertandang.
Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata. Cara pemakaian keris menggambarkan maksud pemakainya. Keris yang terlangkup menunjukkan pemakaiannya tidak berniat jahat atau sebagainya kerana posisi keris yang tidak bersedia untuk digunakan atau suasana yang tidak mencurigakan. Tetapi keris diterlentangkan dikatakan mencari lawan kerana posisi keris yang mudah dipegang dan dihunus untuk menikam.
KESIMPULAN
Berdasarkan kedangkalan ilmu penulis, apabila seseorang memakai keris, semestinya dia perlu memiliki ilmu berkeris atau dengan kata lain dia perlulah seorang yang pandai silat. Jika tidak senjata makan tuan. Setiap pakaian yang dipakai ada tujuan yang tertentu. Sebagai contoh, bengkung lebar yang dipakai sepanjang 7 lilit bertujuan untuk mengelakkan diri dari ditikam dan ayat-ayat yang ditulis pada bengkung dijadikan azimat. Pending selain menguatkan ikatan bengkung, ia juga boleh digunakan sebagai senjata. Labuhan kaki di paras keting dan pemakaian samping hanya di paras lutut adalah bertujuan memudahkan gerakan apabila berlawan. Boleh dikatakan, orang Melayu boleh ‘berkata-kata’ melalui apa yang dipakai.
RUJUKAN
Abd Rahman Ismail, 2003. Seni Silat Melayu Sejarah Perkembangan dan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Selasa, 13 Disember 2011
PERLAWANAN AKHIR PENDEKAR SEABAD 2011 DI UNIVERSITI MALAYA
PERLAWANAN AKHIR D PUTERA - JAMBUL (EMAS)
Pusingan 1
Pusingan 2
Pusingan 3
PERLAWANAN AKHIR B PUTERI - MIEZA (EMAS)
Pusingan 1
Pusingan 2
Pusingan 3
PERLAWANAN AKHIR B PUTERA - MIZI (EMAS & PESILAT PUTERA TERBAIK)
Pusingan 1
Pusingan 2
Pusingan 3
PERLAWANAN AKHIR KELAS D PUTERI - ZUA (EMAS)
Pusingan 1
Pusingan 2
Pusingan 3
Ahad, 11 Disember 2011
PERSEMBAHAN SILAT SEMPENA HARI KEPUTERAAN DYMM SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH, SULTAN SELANGOR
DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor
Pada 10 Disember 2011 (Sabtu) bertempat di Istana Alam Shah, Klang, seramai 9 orang pesilat KCH telah terpilih mewakili Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) melakukan persembahan silat di hadapan Tuanku bersama-sama pesilat Gayung Fatani yang lain.
Pemilihan PSGFM untuk membuat persembahan adalah satu pengiktirafan pihak Istana dan Tuanku sendiri kepada pertubuhan. Semoga KCH khususnya dan PSGFM amnya terus maju dan berjaya.
Menjunjung kasih dan Daulat Tuanku!
Istana Alam Shah, Klang

Pesilat KCH yang membuat persembahan di hadapan Tuanku Sultan Selangor
Lagi gelagat-gelagat pesilat KCH sepanjang persembahan silat...
KEJOHANAN SILAT OLAHRAGA PENDEKAR SEABAD UNIVERSITI MALAYA 2011
Lokasi Kejohanan: Dewan Kolej Kediaman ke-12 UM
Pada 9 hingga 12 Disember 2011 bertempat di Kolej Kediaman ke-12 Universiti Malaya, Kelab Cikgu Halim melalui Kolej Yayasan Pendidikan Cheras telah menyertai Kejohanan Silat Olahraga Pendekar Seabad.
Berikut adalah pesilat yang mengambil bahagian:
Silat Olahraga Putera
Kelas A - Fad
Kelas B - Mizi
Kelas C - Wafi
Kelas D - Jambul
Silat Olahraga Puteri
Kelas A - Mieza
Kelas B - Syazreen
Kelas D - Norazwa
Kelas E - Zetty
Silat Seni
Tunggal Puteri - Syazreen
Ganda Puteri - Syazreen dan Mieza
Regu Puteri - Norazwa, Syazreen dan Mieza
Walau bagaimanapun, YPC terpaksa menarik diri di dalam acara seni berikutan kecederaan yang dialami Syazreen yang tidak memungkinkannya beraksi.
Berikut pula adalah keputusan penuh:
Putera B - Emas (tewaskan pesilat Universiti Singapura)
Putera C - Kalah pusingan awal berikutan kecederaan hamstring
Putera D - Emas (tewaskan pesilat UM)
Puteri A - Emas (tewaskan pesilat Universiti Singapura)
Puteri B - Pelepas memberhentikan perlawanan
Puteri D - Emas (tewaskan pesilat UM)
Puteri E - Gangsa (kalah separuh akhir dengan Universiti Kebangsaan Singapura)
Pesilat Kategori B Putera, Mizi, telah ditabal sebagai Pesilat Terbaik Kejohanan. Dalam tempoh setahun, KCH telah berjaya melahirkan 2 pesilat terbaik. Mieza semasa kejohanan silat di Times Square dan hari ini di UM.
Setinggi-tinggi terima kasih kepada Cikgu Halim yang banyak membimbing kami semua. Tidak lupa juga kepada senior yang turun memberi sokongan, Cikgu Debob sekeluarga, Kak Z sekeluarga, Hanieda, Kak Long dan ramai lagi.
Semoga KCH terus maju dan menjulang banyak kemenangan di tahun-tahun mendatang.
Suasana dewan pertandingan...
salah seorang fighter YPC sedang bersiap sedia dalam acara akhir
Aktiviti sebelum acara penutup - tengok wayang dan makan aiskrim
Berikut pula beberapa adegan semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah
Mizi ditabalkan sebagai Pesilat Terbaik Putera kejohanan
Langgan:
Ulasan (Atom)









