Kata-kata Aluan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum dan salam sejahtera Cikgu ucapkan kepada semua anak-anak murid cikgu.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya, blog Kelab Cikgu Halim (K.C.H) berjaya diterbitkan kembali setelah sekian lama menyepi. Cikgu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam pembikinan blog ini.

Dengan adanya blog K.C.H, Cikgu berharap kesemua anak murid dapat mengikuti segala perkembangan dan aktiviti kelab dari semasa ke semasa. Selain itu juga, anak-anak murid sekalian dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan Seni Gayung Fatani melalui info-info yang diselitkan di dalam blog ini.

Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah. Semoga terdapat pahala dalam bacaan kita dan pahala tersebut kita sedekahkan kepada Arwah Guru Utama kita Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd Wahab A.M.N. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Al-Fatihah...amin, amin, Ya Rabbal Alamin...

HALIM BIN HAMIT
Guru Kanan
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
WP Kuala Lumpur


Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Jun 2012

MAJLIS BENGKUNG HITAM KELAB CIKGU HALIM


Berikut merupakan ahli Majlis Bengkung Hitam Kelab Cikgu Halim:

Bengkung Hitam Jalur Kuning 3 (Guru Kanan)
Cikgu Halim bin Hamit (Guru Kanan WP Kuala Lumpur)

Bengkung Hitam Jalur Kuning 2 (Guru Silat)
Tiada

Bengkung Hitam Jalur Kuning 1 (Guru Muda)
(1) Cikgu Mohd Emy Fadly bin Abd Aziz (Abg Debob)
(2) Cikgu Mohd Nazim bin Ismail (Abg Nazim)

Bengkung Hitam Jalur Putih 4 (Ketua Jurulatih)
Abd Halim bin Abdullah

Bengkung Hitam Jalur Putih 3 (Jurulatih Kanan)
Tiada

Bengkung Hitam Jalur Putih 2 (Jurulatih)
(1) Cikgu Maizura binti Yaakub (Kak Z)
(2) Cikgu Norniza binti Abu Bakar (Kak Liza)
(3) Cikgu Mohd Nasriq bin Mat Shah (Nasriq)
(4) Cikgu Mohd Hasri bin Hassan (Asri)
(5) Cikgu Mohd Nizam bin Musa (Nizam Polis)
(6) Cikgu Irwan Felany bin Asna (Wan)
(7) Cikgu Nur Hamizah binti Abu Hassan (Mieza)
(8) Cikgu Norazwa binti Norman (Zua)
(9) Cikgu Syazreen binti A. Malik (Syazreen)

Bengkung Hitam Jalur 1 (Jurulatih Muda)
(1) Abg Lan Kompleks Muhibah
(2) Ustaz Kompleks Muhibah
(3) Denorme Jerome (PSGFM Perancis)

Bengkung Hitam (Pendekar)
(1) Nurakmal binti Mustakim (Alang)
(2) Siti Maizatul Rafika binti Abd Razib
(3) Abd Wafit bin Abd Aziz (Wafi)
(4) Muhammad Rafizi bin Ab Karim (Mizi Tesco)
(5) Mohd Hamidi bin Ghazali (Midi)
(6) Muhd Ikmal bin Halim (Emai)
(7) Hanida (Nieda)
(8) Audran Leguillou (PSGFM Perancis)
(9) Syukri (PSGFM UPNM)
(10) Israq (PSGFM UPNM)
(11) Nama tak tau (PSGFM UPNM)

Bakal Bengkung Hitam (Pendekar) - Dalam Latihan
(1) Aliff (Pandan Mewah)
(2) Adam (PSGFM Jururawat Sg Buloh)

Selasa, 29 Mei 2012

GURU MUDA KELAB CIKGU HALIM

Rakaman semasa Pertandingan Silat Melayu Kebangsaan tahun 2010, kategori Tempur disertai oleh 2 orang Guru Muda Kelab Cikgu Halim, iaitu Cikgu Emy Fadly (Abg Debob) dan Cikgu Nazim (Cicak Neraka)...KCH memperolehi pingat emas dalam kategori ini.


GURU UTAMA PSGFM

Mungkin ramai yang tidak berkesempatan melihat pengasas dan juga Guru Utama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anwar Abd Ahab AMN bersilat...mari ikuti rakaman arwah semasa hidupnya.


Isnin, 7 Mei 2012

LATIHAN DAN UJIAN PENILAIAN SILAT PESILAT PERANCIS

Sedang berlansung dari semalam selama 15 hari, pesilat-pesilat gayung fatani Perancis datang ke Malaysia untuk latihan dan ujian penilaian silat.  Selamat berlatih dan semoga lulus ujian :)



Jumaat, 16 Disember 2011

LOGO PERTUBUHAN SENI GAYUNG FATANI MALAYSIA (PSGFM)



Logo PSGFM berbentuk bulat diambil daripada Tapak Bulat atau Langkah Melilit yang menggambarkan pergerakan dan kesatuan yang padu

Perkataan membawa makna tertentu
Seni: Hasil ciptaan yang indah sempurna iaitu Silat berdasarkan seni budaya Melayu
Gayung: Seni beladiri zahir dan batin

Warna merah melambangkan keberanian

Warna hijau melambangkan kesuburan dan kepercayaan agama

Warna kuning melambangkan kedaulatan

Warna putih melambangkan kesucian

Warna hitam melambangkan kematangan dan keluhuran

Keris bersilang sarung adalah lambang semangat kepahlawanan Melayu

Tangan bermaksud tanggungjawab, berusaha dengan gigih

Rujukan:
Anwar Abd Wahab AMN,2008.  Silat: Sejarah Perkembangan Kurikulum Silat Melayu Tradisi dan Pembentukan Kurikulum Silat Malaysia Moden.  Kajang: PSGFM.

Khamis, 15 Disember 2011

ETIKA BERPAKAIAN DALAM SILAT

Cikgu Halim berpakaian lengkap tradisi Gayung Fatani...berkain batik dan bertanjak belah mumbang

PENDAHULUAN

            Sejak sekolah rendah lagi kita telah dipupuk berbangga dengan pakaian Melayu yang lebih dikenali sebagai Baju Kebangsaan yang terdiri daripada songkok, baju Melayu, seluar, samping dan kasut kaki di mana ianya diwajibkan pakai setiap hari Jumaat.  Lebih meriah lagi apabila menjelang hari raya apabila kesemua orang lelaki Melayu bergaya dengan pakaian Baju Melayu yang bermacam warna, gaya dan fesyen.  Namun, adakah Baju Melayu yang kita pakai itu lengkap dan sempurna?  Terus terangnya, kedapatan sesetengah fesyen Baju Melayu yang ada sekarang sangat menjelekkan mata.  Kelihatan lebih kepada seorang pemalas yang kononnya dia sangat begaya dan up to date.

ETIKA BERPAKAIAN

            Jadi, apakah kaitannya pakaian dan silat?  Sejak dahulu lagi, baju Melayu yang lengkap menjadi pakaian para pahlawan dan pendekar.  Apakah baju Melayu yang lengkap itu?  Terdapat talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan tatacara pemakaian baju Melayu lengkap seperti berikut:

            Yang disebut pakaian lengkap
            Pertama memakai destar
            Kedua bercekak musang
            Ketiga berkain samping
            Keempat berseluar labuh
            Kelima berkeris
            Keenam berselempang
            Ketujuh bengkung berpending
            Kedelapan berkasut kaki
            Kesembilan berkambil sirih
            Kesepuluh bergelang berdokoh
            Kesebelas bercincin
            Kedua belas bersapu tangan

            Talibun di atas menggambarkan etika berpakaian yang lengkap bagi lelaki Melayu pada zaman tradisi.  Keris menunjukkan betapa pentingnya ilmu beladiri (silat) kerana keris bukan sekadar lambang tetapi digunakan sebagai senjata apabila perlu.  Jadi, baju Melayu adalah pakaian yang sesuai untuk bersilat malah baju Melayu tidak lengkap jika tidak berkeris atau senjata.  Ia umpama persediaan yang tidak lengkap.  Namun pemakaian adalah berbeza mengikut tempat yang dituju tetapi keris tetap dibawa.  Sebagai contoh, jika hendak ke masjid, bengkung berpending, gelang, cincin dan sapu tangan tidak perlu dipakai malah keris dipakai secara tersembunyi.

            Kalau berbaju Teluk Belanga
            Kain diikat dagang luar
            Kepala berkopiah sahaja
            Kain labuh samping ke keting
            Kaki seluar bayang-bayangan
            Keris di pinggang tidak nampak
            Itu pakaian ke masjid
            Atau bertandang ke sanak saudara

            Jika ke majlis rasmi pula, etika bepakaian juga turut berbeza.

            Kalau memakai Cekak Musang
            Kain diikat dagang dalam
            Kain labuh di bawah lutut
            Pinggang memakai bengkung lebar
            Keris terpampang sebelah kiri
            Kepala memakai destar
            Seluar labuh sampai keting
            Itu pakaian raja-raja
            Atau datuk atau panglima
            Atau orang patut-patut
            Atau orang berbangsa
            Yang duduk di helat jamu
            Atau majlis di ramai besar

            Kedudukan keris pula menggambarkan status sosial pemakaianya.

            Kalau memakai keris
            Keris tersisip sebelah kiri
            Keris beradat berlembaga
            Kalau memakai keris terlentang
            Itu tanda mencari lawan
            Bagai ayam kokok bertendang
            Bagai dubalang masuk gelanggang
            Elok dipakai dalam hutan
            Atau belayar tengah lautan
            Untuk menjaga-jaga diri.

            Kalau keris sampir terlangkup
            Keris tidak mencari lawan
            Dipakai dalam jamuan
            Yang dipakai pergi bertandang.

            Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata.  Cara pemakaian keris menggambarkan maksud pemakainya.  Keris yang terlangkup menunjukkan pemakaiannya tidak berniat jahat atau sebagainya kerana posisi keris yang tidak bersedia untuk digunakan atau suasana yang tidak mencurigakan.  Tetapi keris diterlentangkan dikatakan mencari lawan kerana posisi keris yang mudah dipegang dan dihunus untuk menikam.

KESIMPULAN

            Berdasarkan kedangkalan ilmu penulis, apabila seseorang memakai keris, semestinya dia perlu memiliki ilmu berkeris atau dengan kata lain dia perlulah seorang yang pandai silat.  Jika tidak senjata makan tuan.  Setiap pakaian yang dipakai ada tujuan yang tertentu.  Sebagai contoh, bengkung lebar yang dipakai sepanjang 7 lilit bertujuan untuk mengelakkan diri dari ditikam dan ayat-ayat yang ditulis pada bengkung dijadikan azimat.  Pending selain menguatkan ikatan bengkung, ia juga boleh digunakan sebagai senjata.  Labuhan kaki di paras keting dan pemakaian samping hanya di paras lutut adalah bertujuan memudahkan gerakan apabila berlawan.  Boleh dikatakan, orang Melayu boleh ‘berkata-kata’ melalui apa yang dipakai.

RUJUKAN

            Abd Rahman Ismail, 2003.  Seni Silat Melayu Sejarah Perkembangan dan Budaya.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

            Kamus Dewan Edisi Keempat.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahad, 25 September 2011

PERSEMBAHAN SILAT SEMPENA HARI JANTUNG SEDUNIA TAHUN 2011

Hari Ahad minggu terakhir bulan September setiap tahun telah diwartakan sebagai Hari Jantung Sedunia.  Sambutan peringkat kebangsaan telah dianjurkan oleh Institut Jantung Negara di Taman Tasik Titiwangsa pada 25 September 2011.  Majlis telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Kelab Cikgu Halim telah dipilih untuk 4 tahun berturut-turut untuk mempersembahkan keilmuaan Seni Gayung Fatani dalam persembahan penutup.  Persembahan diketuai oleh Cikgu Halim (Guru Kanan WPKL) dibantu oleh Cikgu Debob dan Cikgu Nazim.  Pesilat yang mengambil bahagian ialah Cikgu Mieza, Cikgu Syazreen, Zua, Acap, Afiq, Emai, Rauf dan Izhar.

Pesilat KCH sedang membuat persiapan

Pesilat KCH sedang membuat persiapan

Latihan sebelum melakukan persembahan

Latihan sebelum melakukan persembahan

Perbincangan mengenai persembahan

 
Cikgu Nazim memberi ucapan kepada pesilat-pesilat sebelum persembahan sambil diperhatikan Cikgu Halim

Kata-kata semangat belum habis...

Kata-kata semangat belum habis lagi...

Menunggu giliran persembahan








Isnin, 19 September 2011

PERINGKAT DAN TAHAP DALAM PSGFM

Berikut adalah tahap dan peringkat dalam Sukatan Kurikulum PSGFM Piawai 2002.  Pada dasarnya, tahap dan peringkat sukatan adalah seperti berikut:

Walau bagaimanapun, Kelab Cikgu Halim (K.C.H) telah membuat sedikit penambahan di Peringkat Enam supaya pemegang Bengkung Hitam benar-benar mahir dalam ilmu Gayung Fatani.  Penambahan yang dibuat adalah seperti berikut:


Bengkung Hitam bukanlah penamat dalam Seni Gayung Fatani Malaysia.  Bahkan ia menandakan permulaan keilmuan itu sendiri.  Bagi meneruskan pembelajaran dalam Gayung Fatani setelah beroleh Bengkung Hitam, beberapa pembelajaran seperti permainan senjata, kejurulatihan, persembahan, pertandingan, muzik silat, perwasitan, Sains Sukan, senaman, pentadbiran gelanggang dan banyak lagi berkenaan dan bersangkut paut dengan Silat akan diajar.  Bengkung Hitam juga menunjukkan jawatan pemegangnya di dalam Pertubuhan sama ada di peringkat Pusat atau Negeri.



ADAT DAN PERLAMBANGAN

( Dipetik dari majalah SENI BELADIRI BIL. 23 ; OKTOBER 2007 )

Silat adalah seni beladiri rasmi bangsa melayu yang berteraskan adat seni budaya Melayu yang bersendikan syarak. Adat sebagai pemakin menuntut ilmu silat  antaranya seperti adat buka gelanggang, adat bertamat, adat berguru, adat pesilat,adat guru, adat perguruan, adat berkawan, adat bersendirian dan lain-lain.

Di antara adat penting yang mesti diadakan dalam pendidikan silat tradisi gelanggang bangsal ialah adat membuka gelanggang dan adat bertamat.Di dalam kedua-dua acara tersebut terdapat alat-alat yang digunakan dalam istiadat atau upacara. Alatan tersebut mempunyai nilai dan perlambangan kehalusan budaya kepahlawanan Melayu.

Adat adalah peraturan, hukum atau lembaga yang lazimnya dipakai dan diamalkan sejak zaman dahulu kala melalui persetujuan sesuatu masyarakat sejak orang Melayu belum tahu menulis. Segala amalan dalam adat diingat dan diamalkan dengan yakin bagi menjaga keharmonian masyarakat.

Adat juga bermaksud kelaziman, kebiasaan atau lumrah misalnya adat api panas dan membakar, adat malas tidak berjaya dan jatuh pada tempat tinggi yang pada adatnya boleh menyebabkan kematian. Tetapi adat dan akal atas sebab akibat atau kelaziman tidak semestinya berlaku. Misalnya Nabi Ibrahim A.S. tidak terbakar dek api dan Sita Dewi yang yakin dengan kebenaran cintanya dalam hikayat Seri Rama tidak terbakar oleh api ketika ujian kesetiaan cintanya kepada Seri Rama.

Misalan lain, pada adatnya orang yang berusaha dan rajin akan berjaya kerana  lumrahnya orang miskin dan gagal dalam hidup adalah mereka yang malas.Tetapi berlaku juga sebaliknya. Pengajaran tersebut menunjukkan usaha kadangkala tidak muafakat pada adat dan akal. Maknanya, usaha dan manusia  semata-mata tidak memberikan bekas melainkan dengan izin Allah yang menciptakan sekalian alam, menjadikan segala yang zahir dan batin. Ini pegangan kepada manusia beragama Islam. Oleh itu, adat menyuruh seseorang itu berusaha dan berserah kemudiannya kepada takdir Allah.

Pada kesempatan ini, dua dari adat dalam silat yang akan dibicarakan adalah adat buka gelanggang dan adat bertamat kerana di dalamnya terdapat alatan yang  memiliki nilai dan perlambangan yang memperlihatkan kekukuhan falsafah silat dalam sosio budayanya.

Dalam adat tersebut terdapat alatan yang biasanya akan diadakan atau digunakan pada setiap istiadat atau upacara silat seperti sirih pinang sepiak, sebiji limau, buyung tanah, sepotong kain putih dan pengkeras serta beberapa alatan lain seperti senjata(besi), sintuk dan daun pelepas.

Sirih sejenis daun dari pertumbuhan menjalar yang dijadikan makanan kudap waktu senggang yang mendatangkan cita rasa enak dan berkhasiat. Cara makan sireh secara ringkas iaitu pilih sehelai sireh yang segar, kapur sireh dan sekacip pinang. Mulakan dengan mengunyah sekacip pinang sambil jari manis tangan  kanan mencalitkan sekapur sireh secukup rasa mengikut tulang atau urat sireh dari pangkal yang terbentang di tapak tangan kiri.

Sambil mencalit dibacakan doa atau mentera(jika perlu). Gulung sireh dan masukkan dalam mulut sambil merasakan keenakan sireh apabila ’kelat jatuh ke rengkung’ dan ’seri naik ke peroman’.

Orang zaman dahulu sentiasa membawakan sireh dalam uncang sireh untuk kudapan sendiri atau bersama rakan. Sireh ditanam menjadi junjung bersama pohon pinang berbaris menjadi hiasan kampung halaman. Pokok pinang kerap digambarkan dalam pantun kasih sayang seperti :-

Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari,
Kupinang-pinang, pinang tak dapat,
Kupujuk-pujuk, kubawa lari.

Sirih adat tersusun dalam tepak sirih yang dibawa akan dibuka dan makan sirih terlebih dahulu sebelum membuka kata “sekapur sirih pembuka kata” untuk tujuan menjemput sanak saudara, sahabat dan taulan untuk tujuan kenduri kendara, meminang, berdamai dan sebagainya.

Sirih juga digunakan dalam perubatan tradisi kepawangan Melayu seperti untuk tujuan menawar penyakit, keteguran, jemput semangat, mengubat luka, sakit kulit dan sebagainya. Tidak ketinggalan sirih digunakan dalam upacara perhubungan dengan makhluk ghaib sama ada untuk memanggil, menyuruh, menghantar atau mengembalikan ke tempatnya yang asal agar tidak menganggu.

Walaupun sirih tidak mempunyai  nilai tinggi dari aspek ekonomi, namun sirih tidak pernah ketinggalan kerana kedudukannya yang istimewa sebagai lambang perhubungan, persahabatan, kelembutan dan keayuan seorang gadis yang memiliki muka bujur sirih.

Tidak lengkap istiadat atau upacara silat tradisi tanpa sirih pinang. Sirih kerap dirakamkan dalam  bentuk puisi pantun, gurindam, syair dan nyanyian seperti berikut :-
Sekapur sirih,sekapur sirih seulas pinang,
Diberi bekal,diberi bekal buat perangsang,
Biarlah gugur,biarlah gugur bertumpah darah,
Pantang pendekar,pantang pendekar di tengah gelanggang.
( Lagu Sekapur Sirih )

Adat “Buka Gelanggang” iaitu bermula dengan sekumpulan atau secara berseorangan pesilat yang berhasrat untuk menuntut ilmu silat dari seseorang guru atau perguruan. Pada hari yang ditetapkan mereka bertemu guru dengan membawa “sirih pinang sepiak” (satu simpulan daun sirih yang telah dikapur berserta pinang) bersama pengkeras mengikut kemampuan.

Dipendekkan cerita, proses awal ini disebut “meminang” guru iaitu mengikat persetiaan antara pesilat dengan guru. Melalui persetiaan itu, pesilat mestilah patuh kepada syarat yang ditetapkan dan guru sedia melapangkan masa selama tiga bulan sepuluh hari mengajar silat zahir dan batin pada setiap malam kecuali malam jumaat, hingga tamat.

Pengkeras ialah sesuatu barang sebagai pemberian, cenderahati, buah tangan atau  hadiah untuk pengesahan belajar silat dan mewarisi ilmu perguruan tersebut. Pengkeras akan diberikan kepada guru sebagai pertukaran dengan ilmu yang diperturunkan kepada silat.

Guru silat akan menyampaikan ilmu secara ikhlas tanpa mengharap pembayaran. Oleh itu, pesilat sentiasa menolong dan memudahkan urusan harian guru agar guru melaksanakan tugas memperturunkan ilmu pada setiap malam. Hari ini keadaan kehidupan telah berbeza,maka pengkeras telah ditukar pada mata wang senilai yang dibayar sebagai yuran keahlian dan pengesahan belajar silat tujuannya memudahkan pesilat, perguruan, tanggungan, alatan dan sebagainya. Pengkeras bertamat silat digunakan urusan Ujian Penilaian Silat, Sijil Tamat Latihan dan lain – lain. ( Semua itu bergantung kepada perguruan tertentu )

Silat tradisi mengadakan upacara bertamat dengan  “mandi pelimau” iaitu semua pesilat yang tamat  akan dimandikan oleh guru di gelanggang silat. Pada hari berkenaan setiap pesilat membawa alatan seperti pengkeras, sebutir limau, sebuah buyung tanah dan sepotong kain putih sepanjang lina hasta.

Alatan lain seperti sirih pinang,sintuk,keris(besi dan daun pelepas disediakan bersama.
Upacara mandi pelimau dilakukan slepas semua pesilat diuji oleh pendekar-pendekar tua sebagai pengesahan dan diterima ke dalam golongan pendekar. Cara mandi pelimau iaitu semua pesilat berbaris dengan duduk hormat melutut dalam gelanggang silat.

Guru bersama pendekar-pendekar tua menjiruskan air dari buyung tanah yang bercampur limau yang telah dipotong oleh guru pada semua pesilat. Pesilat akan menyimpan air jirusan pertama dalam mulut sambil berniat. Apabila semua air buyung telah  dijiruskan, maka guru akan memberi isyarat ‘lepas’ dan pesilat meniupkan air dari mulut ke depan dengan teruraunya daun pelepas di tangan guru. Seterusnya guru membaca doa selamat dan diaminkan oleh para pesilat. Semua buyung ditengkup, enam buluh gelanggang dan 12 bilah tongkat gelanggang diletakkan di tengah gelanggang.

Upacara bersurai, buyung dan kain putih menjadi pengkeras. Pada zaman dahulu, buyung tanah dan kain putih mempunyai nilai yang boleh ditukar dengan barangan lain.Biasanya kain putih dihadiahkan kepada para pendekar yang sama-sama dalam upacara bertamat.

Dalam upacara mandi pelimau terdapat alatan sebiji limau purut atau limau nipis.Limau akan di potong oleh guru dan dimasukkan ke dalam buyung tanah  berisi air mandi pesilat.Buyung tanah iaitu buyung periuk atau periuk tanah yang diperbuat daripada tanah yang boleh menampung air minimum lima liter.

Buyung berisi air disusun di bahagian hadapan gelanggang silat. Kain putih daripada kapas sepanjang lima hasta atau sekapan. Alat-alat tersebut mempunyai nilai dan perlambangan sesuai dengan falsafah Sikap Pendekar iaitu silat berteraskan adat seni  budaya Melayu bersendikan syarak.

Berikut diperturunkan secara ringkas nilai dan perlambangan pada alat tersebut.

Pertama Sirih – Sirih pinang sepiak dalam silat melambangkan unsur  adat seperti mana sirih digunakan dalam adat istiadat sebagai pembuka kata sewaktu  upacara peminangan, jemputan, perkahwinan, perhiasan dalam sosio budaya Melayu. Sirih digunakan waktu buka gelanggang sebagai lambang meminang guru dan waktu bertamat sebagai lambang hubungan baik antara pesilat dengan guru dan juga pendekar-pendekar tua yang sedia menantikan mereka.

Ketua mandi – Mandi pelimau yang dilakukan pada upacara penamat silat melambangkan kesempurnaan tuntutan ilmu silat. Di dalam masyarakat Melayu terdapat berbagai jenis mandi, mandi hadas, mandi doa selamar, nazar, mandi bunga, mandi betah sakit dan lain-lain. Mandi tersebut bertujuan menyucikan diri zahir dengan air yang diwangikan oleh buah-buahan atau bunga-bungaan.

Upacara mandi pelimau silat juga melambangkan kasih sayang guru kepada pesilat dengan memandikan dan mendoakan mereka.Mereka dimandikan dengan air dari buyung tanah yang airnya telah bercampur wangian limau purut untuk membersihkan diri. Dalam kata lain, pesilat datang bersih, dikembalikan kepada keluarga dan masyarakat sebagai insan berilmu yang bersih.

Alat-alat dan bahan seperti besi dan limau,buyung tanah dan air mempunyai asal-usulnya dan perlambangannya sendiri. Misalannya buyung tanah dan air sebagai lambang kejadian manusia daripada tanah, air dan angin.

Silat dianggap sebagai ilmu keduniaan iaitu ilmu yang sehubungan dengan keperluan dunia seperti mencari makanan, pakaian, tempat tinggal dan mempertahankan diri yang memerlukan ilmu,kemahiran, usaha dan ikhtiar.

Kain putih daripada kapas sepanjang lima hasta atau sekapan melambangkan ilmu kerohanian silat. Warna putih pada kain melambangkan amalan yang suci dan bersih selari dengan syarak. Orang-orang tua pernah menyebutkan ungkapan tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad iaitu ilmu akhirat atau kerohanian dalam persilatan Melayu telah membentuk insan yang mengenal dirinya dan mengenal tuhan yang disembahnya.

Setinggi manapun ilmu, bagi pesilat bangsa Melayu, tidak mengubah dirinya sebagai hamba Allah yang akan berakhirkan dengan kematian. Daripada Allah sekaliannya datang, dengan izin Allah mereka menikmati erti kehidupan dan kepada Allah  sekaliannya akan kembali. Maka ilmu untuk kembali kepada Allah menjadi penting disamping kesibukan menuntut ilmu dan urusan keduniaan.

Lambang kesempurnaan tuntutan ilmu dan amal pada hakikat dan makrifahnya diumpamakan seseorang itu telah dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan ditanamkan.

Pesilat atau seseorang yang menuntut ilmu dan riadah kerohanian terlebih  dahulu membersihkan diri zahir dan batin dengan  melakukan mandi taubat dan diikuti solat taubat. Dikapankan dan disembahyangkan seperti yang pernah di sebutkan, “matikan dirimu sebelum mati yang sebenarnya dan sembahyanglah kamu sebelum kamu disembanhyangkan”.

Disembahyangkan melambangkan guru  mengajar ilmu syariat dan hakikat seperti feqah, tauhid dan tasawuf yang wajib fardhu ain. Dikapankan melambangkan ilmu menghadapi jalan-jalan terakhir di dunia.

Ditanamkam bukan bermakna ditanam dalam tanah hidup-hidup tetapi berusaha mendidik hati yang zalim yang dapat memupuk iman, ikhsan, zuhud, taqwa dan tawakal kepada Allah yang Maha Esa dan “Somad” untuk menjalani murakabah, mukabalah, mujahadah dan musyahadah kepada Allah sepanjang masa.

Dari keterangan di atas, memperlihatkan adat yang diamalkan di dalam silat mempunyai nilai dan perlambangan sesuai beladiri beradat. Maka setiap amalan dan peralatan yang digunakan dalam adat istiadat dan upacara mempunyai makna dan falsafah serta makna yang memperkukuhkan nilai dan perlambangan dalam budaya kepahlawanan Melayu.

Mengikut adatnya, tidak sebarang orang boleh menerima sirih pinang, pengkeras, melaksanakan mandi perlimau dan menerima kain putih sekapan. Penerimaan membawa makna pengesahan tuntutan ilmu silat pada zahir dan batin atau amalan dunia dan akhirat.

Makna, seseorang menerima sirih pinang mestilah berupaya melaksanakan janji atau memperturunkan ilmu persilatan atau yang sehubungan dengannya hingga tamat.

Pesilat yang telah tamat semua  ilmu silat dengan sempurna layak mandi perlimau kerana selepas perlimau pesilat boleh bersilat, bersukan dan berdikari serta bertangungjawab terhadap ilmunya.

Pemberian kain putih sekapan merupakan lambang tamat  ilmu kerohanian silat.Tidak boleh menerima kain putih sekapan selagi pesilat belum tamat dalam ilmu kerohanian tersebut.
Dapat disimpulkan bahawa silat tidak boleh diajarkan sebarangan orang, melainkan kepada  guru-guru yang benar-benar layak kerana silat merupakan institusi pendidikan tradisi yang lengkap pada adat,ilmu silat dan kerohanian.

Saudara Azlan  Ghanie (penerbit majalah SENI BELADIRI) berharap agar ada pihak dapat melihat perjalanan, perjuangan dan pengorbanan para guru silat, khususnya di Malaysia. Contohilah langkah-langkah mereka sebelum seseorang  menjadi guru silat, mereka begitu gigih menuntut ilmu dan menimba pengalaman dari beberapa orang guru dan pelbagai jenis aliran perguruan, “Sebelum seseorang itu menjadi guru,tanya berapa  telah ditemui? Jika menemui guru tua tanyalah, berapa guru telah dituntut? Andai tanya seorang pendita, berapa guru untuk mengetahui, memahami dan menghayati satu gerak. Jawapannya,1000 guru pun belum pasti(AZLAN GHANI, SB/Oktober/2007)

Petikan di atas terdapat tiga persoalan iaitu pertama, sebelum seseorang menjadi guru silat mestilah menemui beberapa orang guru. Kedua,seorang guru tua telah menuntut dari beberapa orang guru. Ketiga,seorang pendita pula akan berguru agar dia dapat mengetahui, memahami, menghayati satu gerak silat.

Persoalan tersebut memperlihatkan seseorang yang hendak menjadi guru, guru tua atau pendita silat harus belajar dan menuntut dari sebanyak mungkin guru. Pandangan ini memang benar kerana kebanyakan perguruan silat terhasil daripada gabungan, campuran atau panduan dari beberapa perguruan jenis silat, Pencak Silat, seni beladiri hatta dari seni mempertahankan diri luar.

Dalam beberapa siri SB terdapat perguruan silat yang mengandungi lebih dari sepuluh aliran perguruan. Dalam pada itu, terdapat juga perguruan yang hanya tinggal tari, gendang silat, amalan kebatinan atau beberapa buah pukulan sahaja.

Persoalannya mengapa keadaan tersebut boleh terjadi? Jawapannya ialah kebanyakan perguruan silat yang ada hari ini tidak bersifat lengkap dan ada di antaranya di reka cipta sesuai dengan keperluan beladri dan pertandingan pencak silat.

Perguruan yang tidak lengkap seperti inilah yang menyebabkan pesilat perlu mempelajari beberapa perguruan silat untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu dan pengalaman sebelum menjadi guru atau membuka poerguruan baru.

Sesuailah dengan jawapan saudara Azlan Ghanie iaitu dalam seribu orang  guru silat belum pasti menguasai ilmu yang  lengkap.

Di Malaysia hanya ada terdapat empat ratus perguruan silat, maka jadi mustahillah terdapat seorang guru yang pasti lengkap. Akibat pengaruh aktiviti seperti pertandingan Pencak Silat dan di rasuk oleh pertandingan beladiri yang melagakan manusia seperti laga ayam dan laga kerbau telah mencacatkan kemurnian  silat.

Keadaan ini telah berlaku kepada Taekwando seperti kata Grandmaster Lee (SB Julai 2007, m/s17) bahawa sebahagian daripada seni dalam seni beladiri Teakwando telah meninggal jauh perkara yang sebenar dalam taekwando yang hilang akibat sukannya yang popular secara mendadak…
  
Kesimpulannya nilai dan perlambangan dalam silat memperlihatkan silat  sebagai seni beladiri beradat dan mencerminkan kehalusan adab dalam seni budaya kepahlawanan Melayu. Oleh itu pendidikan silat memerlukan guru silat yang dapat memperturunkan ilmu beserta hikmatnya.

Oleh :
Tuan Haji Anuar Abd Wahab AMN